Rabu, 29 September 2010

Al Fatihah : Tuan Guru Pak Teh Kembali ke Rahmatullah


Pengasas Madrasah Ad Diniah Al Latiffiah atau lebih dikenali oleh masyarakat setempat sebagai Pondok Pak Teh, Tuan Guru Dato' Haji Abdul Latif bin Abdul Rahman (Gambar) atau lebih dikenali sebagai Pak Teh telah kembali ke Rahmatullah kira-kira jam 1.00 pagi tadi selepas sesak nafas.

Pak Teh mendirikan pusat pengajian ini pada tahun 1967 dan lokasinya adalah berdekatan dengan perkarangan rumahnya. Pusat pengajian ini teletak di Kampung Kuak Luar, Pengkalan Hulu dalam daerah Hulu Perak.

Pondoknya menjadi kontaversi setelah semasa 10 bulan Pakatan Rakyat memerintah Perak telah meluluskan sebidang tanah untuk membantu pondok sedangkan sekian lama dipohon semasa BN berkuasa sebelumnya tetapi tidak dilulus.

Pak Teh dalam kenangan :-

Pak Teh merupakan anak jati kelahiran Kampong Kuak Hulu, Pengkalan Hulu. Beliau dilahirkan pada tahun 1938. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu dalam tahun 1947 hingga 1953 dengan menamatkan pengajian hingga darjah 5. Pada peringkat awal, beliau mula menghafal kitab-kitab agama dengan dibimbing oleh Ustaz Omar Mohd Noh.

Selepas itu beliau melanjutkan pengajiannya di peringkat menengah di Sekolah Arab (sistem pondok) yang dikenali dengan nama Pondok Asam Jawa yang terletak di Pendang, Kedah antara 1956 hingga 1959. Pak Teh sebenarnya seorang pelajar yang pintar kerana beliau berpeluang melanjutkan pengajian ke Maktab Melayu Kuala Kangsar tetapi tidak meneruskannya kerana kemiskinan. Kemudian Pak Teh meneruskan pengajian di Sekolah Agama Pondok Pasir Tumboh iaitu Sekolah ad-Diniah Bakriah, Kelantan selama lebih 9 tahun iaitu dari tahun 1959 hingga 1967.

Beliau sempat berguru dengan beberapa orang ulama terkenal seperti Tuan Guru Haji Mohamad Saman, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Haji Ahmad, Tuan Guru Haji Sulaiman Mohd Rabik, dan juga ulama-ulama terkenal yang bermastautin di Kelantan iaitu Tuan Guru Haji Mustafa, Tuan Guru Haji Abdul Aziz dan Tuan Guru Haji Hashim Haji Abu Bakar.

Beliau telah dapat mengekalkan pengajian secara sistem pondok di mana pengajian ditumpukan dengan mempelajari kitab-kitab Thurath iaitu kitab-kitab tradisi Islam. Beliau adalah pakar rujuk dalam berbagai hal mengenai masalah agama. Mewarisi minat bapanya, Pak Teh juga minat bercucuk tanam dan berkebun buah-buahan. Minatnya itu juga kini tertumpah pada anak-anak muridnya dimana pelbagai jenis tanaman di tanam di pusat pengajian tersebut.

Selain dapat memanfaatkan tanah-tanah yang ada, tanam-tanaman ini juga dapat memberikan pendapatan sampingan apabila dijual. Antara tanaman yang ditanam ialah seperti ubi kayu, pinang, pisang, nenas, kangkung, bayam, sawi, tebu dan macam-macam lagi buah-buahan dan sayur-sayuran termasuk pokok-pokok akar kayu untuk perubatan.
Pada peringkat awal penubuhan Madrasah Ad Diniah Al Latiffiah, bilangan murid yang menerima cara pendidikan yang diperkenalkan itu hanyalah seramai tiga orang. Kini setelah madrasah tersebut menjangkaui usia lebih 35 tahun bilangan murid yang belajar di situ melebihi 400 orang secara sepenuh masa.

Pak Teh merupakan ahli jawatankuasa Syariah Negeri Perak sejak dari tahun 1994. Pengetahuannya yang luas khususnya dalam pemakaian kaedah kitab Arab dan cermatnya beliau dalam mengeluarkan sesuatu usul atau pandangan telah banyak membantu perjalanan jawatankuasa Syariah dan majlis fatwa Perak.

Diatas sumbangannya yang besar, Pak Teh telah dianugerahkan kurniaan Darjah Dato' Paduka Mahkota Perak (DPMP) sempena menyambut ulang tahun hari keputeraan DYMM Paduka Sultan Perak ke 76 baru-baru ini. Istiadat pengurniaan tersebut telah berlangsung pada 19 April 2004 di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Kebanyakkan pengajian ilmu dimadrasah ini adalah bersumber daripada Kitab-kitab Jawi yang lebih popular dikenali sebagai kitab kuning dan kitab-kitab Arab. Kaedah pengajian di madrasah ini yang berasaskan system pengajian pondok selalunya menggunakan 2 kaedah utama iaitu umumi dan nazomi.Selain itu juga kelas hafalan dipraktikkan secara meluas dalam sistem pengajian pondok. Antara kitab yang digunakan di Pondok Pak Teh ialah Minhajul Abidin(tasawuf), Mughni Muhtaj(feqah), Syuzu(nahu), Hadis Muwatta Imam Malik, Fathul Muin, Fathul Wahhab, Tafsir Nasafi, Ibnu Akil, Syarkawi, Usul Fiqh, Matan Zubad(feqah) dan Matan Majmuk Azhari.

SemugaRohnya ditempatkan bersama roh para Rasul dan Nabi, syuhada dan solihin diatas kegigihannya memperjuanbgkan agama Allah.....Al Fatihah..

Isnin, 6 September 2010

Jamuan Raya PAS N.Sembilan 2 Okt dan 25 Sep





JAMUAN HARI RAYA DAN CERAMAH UMUM
Tarikh : 2 Oktober 2010
Hari : Sabtu
Masa : 9 malam
Tempat : Dataran Muhibbah, Kg. Ismail, Ampangan, Seremban
Tetamu dan penceramah :
YB Dato Mahfuz Omar , Naib Presiden PAS
YB Dato Kamarul Baharin Abbas , Pengerusi PKR NS
YB Ean Yong Ting Sin , ADUN Lukut / Tim Peng. DAP NS
Zulkefly Mohamad Hj Omar , Pesuruhjaya PAS N.Sembilan

Semua dijemput hadir
Anjuran : Badan Perhubungan PAS N.Sembilan

JAMUAN HARI RAYA DAN CERAMAH UMUM
Tarikh : 25 September 2010
Hari : Sabtu
Masa : 9 malam
Tempat : Lot 13015, Batu 3, Jln Kuala Pilah, Ampangan, Seremban
Tetamu dan penceramah :
Ustaz Idris Ahmad , Ketua Penerangan PAS Pusat
Shamsul Iskandar Mat Akin , Ketua AMK
Zulkefly Mohamad Hj Omar , Pesuruhjaya PAS N.Sembilan

Semua dijemput hadir
Anjuran : Usrah Gabungan PAS Gedung Lalang, Ampangan

Jumaat, 6 Ogos 2010

Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan

SENARAI AMALAN DI SEPANJANG BULAN RAMADHAN
  1. Berniat Sebelum Terbit Fajar
  2. Bersahur (sunat mengahirkannya)
  3. Solat Sunat Sebelum Subuh
  4. Solat Subuh (berjamaah bagi lelaki)
  5. Solat Sunat Dhuha
  6. Solat Sunat Sebelum Zuhur
  7. Solat Zuhur (berjamaah bagi lelaki)
  8. Solat Sunat Selepas Zuhur
  9. Solat Sunat Sebelum Asar
  10. Solat Asar (berjamaah bagi lelaki)
  11. Doa Sebelum Berbuka
  12. Menjamu Orang Berbuka Puasa
  13. Berbuka (sunat menyegerakannya)
  14. Solat Sunat Sebelum Maghrib
  15. Solat Maghrib (berjamaah bagi lelaki)
  16. Solat Sunat Selepas Maghrib
  17. Solat Sunat Sebelum Isyak
  18. Solat Isyak (berjamaah bagi lelaki)
  19. Solat Sunat Selepas Isyak
  20. Solat Sunat Taraweh
  21. Solat Sunat Witir
  22. Solat Sunat Tahajjud
  23. Majlis Ilmu / Tazkirah
  24. Sedekah dan Infaq
  25. Tadarus Al-Qur'an
  26. Iktikaf di Masjid (khususnya 10 terakhir)
  27. Istighfar (100 kali) Semoga dengan kedatangan Ramdhan kali ini akan dapat meningkatkan amalan, ibadah dan ketaqwaan kita kpd Allah dan juga ianya berkekalan walaupun Ramadhan telah berlalu.... Renung-renungkan dan Selamat Beramal.. Carilah Redha dari Tuhanmu...

Isnin, 2 Ogos 2010

10 Sifat Calon Suami Yang Baik



Jika anda seorang wanita, carilah lelaki yang mempunyai sifat-sifat berikut.
Jika anda seorang lelaki, jadilah seorang lelaki yang mempunyai sifat-sifat berikut.

1. Kuat amalan agamanya. Menjaga solat fardhu, kerap berjemaah dan solat pada awal waktu. Auratnya juga sentiasa dipelihara dan memakai pakaian yang sopan. Sifat ini boleh dilihat terutama sewaktu bersukan.

2. Akhlaknya baik, iaitu seorang yang nampak tegas, tetapi sebenarnya seorang yang lembut dan mudah bertolak ansur. Pertuturannya juga mesti sopan, melambangkan peribadi dan hatinya yang mulia.

3. Tegas mempertahankan maruahnya. Tidak berkunjung ke tempat-tempat yang boleh menjatuhkan kredibilitinya.

4. Amanah, tidak mengabaikan tugas yang diberikan dan tidak menyalahgunakan kuasa dan kedudukan.

5. Tidak boros, tetapi tidak kedekut. Tahu membelanjakan wang dengan bijaksana.

6. Menjaga mata dengan tidak melihat perempuan lain yang lalu lalang ketika sedang bercakap-cakap.

7. Pergaulan yang terbatas, tidak mengamalkan cara hidup bebas walaupun dia tahu dirinya mampu berbuat demikian.

8. Mempunyai rakan pergaulan yang baik. Rakan pergaulan seseorang itu biasanya sama.

9. Bertanggungjawab. Lihatlah dia dengan keluarga dan ibu bapanya.

10. Wajah yang tenang, tidak kira semasa bercakap atau membuat kerja atau masa kecemasan.

Selasa, 27 Julai 2010

KELEBIHAN BERSEDEKAH


Abu Laith As-Samarqandhy berkata; 10 kebaikan terkandung di dalam sodaqah. 5 di dunia dan 5 kebaikan di Akhirat. Lima Faedah yang diperolehi di dunia ialah;

1. Membersihkan harta.
2. Membersihkan dosa-dosa yang diperbuat oleh seseorang.
3. Menolak beranika bala dan penyakit.
4. Mengembirakan hati golongan fuqara dan Masaakin.
5. Mendatangkan barokah dan melapangkan rezki.

Lima kebaikan di akhirat ialah;

1. Mendapat naungan aryash Allah di akhirat.
2. Meringankan hisabnya.
3. Menambah berat timbangan amal kebajikan.
4. Memudahkannya menyeberangi titian.
5. Meningkatkan darjatnya di Syurga.

Demikian kelebihan dan kebaikan bersedekah. Kerana setiap apa yang kita infaq didunia ini atas sifatnya sebagai kebaikan agama maka ianya adalah kebajikan dan pahala. Saat di dunia tentunya kita agak kurang berhajat kepada pahala.Namun apabila berkelananya seorang hamba diakhirat, saat tiada lagi teman dan taulan serta sanak saudaraa, tiada lagi pangkat dan harta serta kemegahan dunia. Maka saat itu sangatlah kerdil rasanya diri yang tidak membawa bekalan akhirat yang cukup. Tersisih jauh ia dari hamba-hamba Allah yang didunia dahulu sentiasa mendahulukan kebajikannya ke akhirat. Sesungguhnya yang di makan dan dipakai semuanya binasa, kecuali apa yang dibelanjakannya di jalan Allah swt.


Jumaat, 23 Julai 2010

KHUTBAH : 5 ASAS PENTING



Hadirin Solat Jumaat Yang dirahmati Allah

Marilah kita bersyukur ke hadrat Allah s.w.t. yang telah memberi kelapangan dan kemudahan kepada kita untuk kita berhimpun pada hari ini dalam satu pertemuan yang disyariatkan wajib kepada kaum lelaki dari ummat Muhammad s.a.w. Pertemuan sekali seminggu ini pastinya tersembunyi pelbagai hikmah yang dapat kita nikmati, rasai dan hayati. Hikmah yang kita sedar atau yang belum kita sedari. Selain dari ruang untuk memperkukuhkan diri dengan pengisian peringatan atau tazkirah khutbah oleh khatib, di sini jugalah peluang kita, manusia sebagai makhluk social untuk saling berkenalan, berinteraksi dan selanjutnya membawa kepada memenuhi keperluan di antara satu sama lain dalam keadaan yang pastinya sangat terpelihara lantaran ia bermula di dalam tempat yang sangat mulia iaitu rumah Allah, masjid. Selain itu, ada keberkatan, naungan dan rahmat Allah yang tersembunyi, bagi hamba-hambanya yang bertemu dan berpisah keranaNya, memakmurkan rumahNya dan menyebut-nyebut namaNya di dalam perhimpunan tersebut.

Dalam kesempatan yang terhad dan singkat ini, saya ingin mengambil peluang untuk mengajak diri saya dan tuan-tuan hadirin solat Jumaat sekalian sesekali kita memperingatkan diri kita masing-masing dengan beberapa noktah atau titik asas yang utama dalam kehidupan kita selaku seorang muslim mukmin., Saya menyedari bahawa di sana terlalu banyak isu-isu besar yang bersifat internasional, nasional maupun local yang berkaitan Islam dan umat Islam yang boleh kita sentuh dan kupas. Namun, biarlah pada hari ini kita menyebut perkara-perkara asas yang juga tidak kurang pentingnya. Janganlah keghairahan kita untuk memetik bintang di langit , sampai kita terlupa bahawa telapak kaki masih menjejak di bumi.

Ada 5 perkara asas yang ingin saya sebut dan peringatkan dalam kesempatan khutbah pada hari ini.

Asas Yang Pertama :

Kita adalah makhluk yang diciptakan oleh Allah s.w.t. Kita tidak lahir dengan sendiri, ibu bapa hanyalah jalan atau wasilah untuk mengeluarkan kita tetapi mereka bukan pencipta kita. Sebagai bukti, masih ramai ibu bapa yang tidak memperolehi anak walau mereka sangat menginginkannya lantaran kuasa dan uapaya penciptaan itu bukan milik mereka. Firman Allah s.w.t. :

Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu dengan sebaik-baiknya dan dimulakanNya kejadian manusia berasal dari tanah; [7] Kemudian Dia menjadikan keturunan manusia itu dari sejenis pati, iaitu dari air (benih) yang sedikit dipandang orang[8] As-Sajdah

Siapa pun kita hari ini, apa pun jawatan dan kedudukan kita pada hari ini, sebanyak mana pun harta dan kekayaan yang kita miliki atau sebanyak mana pun nikmat yang kita kecapi, ia bermula dari satu titik permulaan atau pintunya iaitu bermula dari sehembus nafas dan nyawa yang ditiupkan Allah s.w.t. kepada kita. TanpaNya, kita tiada apa-apa..

Asas Yang Kedua :

Sebagaimana ia mencipta kita, Dialah Allah s.w.t. yang sangat berkuasa yang akan mematikan kita. Dia Yang Menghidup dan Mematikan. Friman Allah s.w.t. :

Dan bahawa sesungguhnya, Dialah yang mematikan dan menghidupkan;(An-Najm : 44)

Mati bukan dalam bidang kuasa kita. Saya ulang sekali lagi sebagai peringatan untuk diri saya dan tuan-tuan. Ketahuilah sesungguhnya mati bukan dalam bidang kuasa kita. Kita tidak tahu bila kita akan dimatikan dan di bumi mana kita akan dikuburkan. Mungkin sahaja sesusai solat Jumaat ini, mungkin sahaja mala mini, mungkin sahaja esok, lusa, minggu depan, bulan depan, tahun ini atau tahun depan. Tiada siapa yang tahu.

Sangat menghairankan, apabila kita masih lagi hidup sepertinya mati di dalam kawalan kita. Sedangkan saban hari kita mendengar berita kematian, sudah kerap kita dikejutkan dengan berita kematian sahabat handai mahu pun kerabat terdekat. Adakah mustahil selepas ini kematian kita pula akan memeranjatkan mereka?

Asas Yang Ketiga :

Sebagai muslim mukmin, kita meyakini bahawa kita tidak mati begitu sahaja. Ada kebangkitan selepas kematian yang namanya alam akhirat. Satu perjalanan yang bermula dengan alam barzakh, qiamat, alam mahsyar dan seterusnya hinggalah berakhir dengan satu antara dua perhentian. Syurga atau Neraka. Syurga, destinasi akhir bagi mansuia yang berbahagia. Neraka, destinasi akhir bagi manusia yang celaka. Jika kita dimatikan detik ini juga, adakah kita telah merasa pasti yang manakah satu destinasi terakhir kita? Tepuk dada tanyalah iman. Friman Allah s.w.t. :

Tidakkah mereka menyangka bahawa mereka akan dibangkitkan (hidup semula sesudah mati)? [4] Pada hari (kiamat) yang amat besar (huru-haranya), [5] Hari berdiri manusia untuk mengadap Tuhan sekalian alam? [6] – Al-Muthafffin

Asas yang Keempat :

Destinasi akhir kita di alam akhirat itu sangat bergantung kepada bekalan yang sempat kita kumpulkan ketika hidup di dunia ini. Asas yang keempat ini bermula dengan kita menginsafi hakikat diri kita dan hakikat dunia ini. Siapa diri kita sebenarnya? Tanyalah diri sendiri, siapakah kita ini sebenarnya? Seorang Raja? Presiden? Ketua tertinggi Negara? Pengurusan tertinggi institusi atau organisasi? Pimpinan Masyarakat? Hartawan? Budayawan? Karyawan? Pensayarah dan mahasiswa di gedung pengajian tinggi tempat himpunan golongan intelek? Pegawai besar? Demi Allah, kesemuanya itu tidak hakiki. Yang hakikinya ialah kita semua adalah hamba Allah s.w.t. Berkewajipan melaksanakan seluruh perintah dan meninggalkan seluruh larangannya. Firman Allah s.a.w. :

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu [56]- Az-Zaariyat)

Hamba yang dibebankan dengan jawatan selaku khalifah, untuk mengurus, mentadbir dan membimbing alam seluruhnya dengan syariat Allah s.w.t. Hamba yang diberi tempoh hayat yang tidak lama untuk membuktikan kesetiaan dan komitmen mereka dengan Penciptanya dalam meksanakan beban amanah tersebut.Hamba yang dicipta bukan untuk hidup mengikut hawa nafsu. Bukan untuk membelakangi syariat Allah s.w.t. Bukan untuk menongkat langit, lantaran akhirnya ia tetap akan kembali bertemu Allah s.w.t.

Asas Yang Kelima dan terakhir :

Keempat-empat asas yang telah saya sebutkan tadi adalah titik noktah yang sangat penting untuk sentiasa diperbaharui ingatan dan kesedaran tentangnya. Asal usul, pengakhiran, hakikat insan dan hakikat dunia yang sebenar bersumberkan sumber yang sangat kukuh. Sumber yang sangat kukuh itulah asas kelima yang saya maksudkan. Hari ini ramai manusia yang mencipta pegangan dan prinsip hidup, membentuk corak pemikiran, yang kemudiannya menghasilkan sesuatu nilai dan budaya yang kemudiannya menatijahkan tindakan-tindakan bukan dari sumber yang kukuh dan konkrit.

Perkara yang sepenting prinsip pegangan, pola pemikiran, nilai dan peraturan, budaya dan amalan diasaskan dengan asas yang bersumberkan sumber yang tidak kukuh dan konkrit. Ada yang menjadikan amalan turun temurun sebagai sumber dan asas, ada yang menjadikan - kerana ramai orang dalam sesebuah masyarakat menerima sesuatu perkara tersebut- sebagai sumber nilainya, ada yang menjadikan segala apa yang datang dari barat itu sebagai sumber rujukannya, lebih malang lagi ramai juga yang menjadikan hawa nafsu sebagai sumber rujukannya.

Hasil dari sumber yang tidak konkrit dan jelas, prinsip pegangan menjadi bercelaru, pemikiran menjadi keliru, nilai menjadi haru biru. Kelucahan diiktiraf sebagai hasil seni yang tinggi. Hiburan yang asalnya keinginan atau keperluan, menjadi kewajipan dan kemestian. Agama sebagai cara hidup bertukar menjadi aktiviti atau upacara kerohanian. Alam ghaib menjadi dunia mistik. Moral menjadi hak asasi. Jihad Islam dianggap keganasan, Serangan Israel dianggap sebagai mempertahankan keselamatan dan memerangi pengganas.

Marilah kita kembali kepada sumber yang paling kukuh, sumber yang konkrit, mukjizat yang mencengangkan dan tidak dapat dipertikaikan kesahihannya semenjak dahulu, kini dan selamanya iaitu wahyu Ilahi, Al-Quran dan Hadith sahih yang menjadi sumber tertinggi dalam Islam selaku cara hidup manusia yang sepatutnya.

Alif, Laam, Miim. [1]Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa; [2]Al-Baqarah