Jumaat, 16 Disember 2011

Oley ! Pecah Panggung


1. Sejak semalam dan berlarutan sehingga pagi ini, telefon saya senantiasa panas dengan deringan masuk yang bertali arus. Tidak menang tangan saya dibuatnya. Saya terpaksa menggunakan ear phone untuk mengelakkan rasa sakit pada gegendang telinga, melayan panggilan masuk sejak semalam.

2. Segalanya bermula dengan Oley ! .... Segala puji bagi Allah Tuhan yang memberi hidayah dan taufiq buat hambaNya.

3. Tahniah ustaz ! dengan nada sebak dan seketika beliau berhenti lalu menangis di hujung talian mengakui kebenaran dan keinsafan beliau kerana salah sangka terhadap hukum Allah selama ini. Insaf setelah menonton filem pendek berjudul "Oley !" tujuh kali berulang tonton. Saya kesal ustaz ! saya fitnah hukum Allah selama ini ! .... saya hanya mampu bersyukur mendengar luahan dari insan yang saya tidak kenali di hujung talian telefon pagi tadi.

4. Tanpa disedari, menitis jua air mata saya terharu dengan kesan filem yang kami hasilkan ... biarpun tidak seberapa tetapi berbekalkan keikhlasan dan kesungguhan rakan - rakan yang mahu membersihkan nama baik Islam dan syariatnya setelah diserang dari segenap arah. Semoga Allah menerima amalan yang sedikit ini sebagai amal soleh dan menjadikannya asbab hidayah kepada semua yang menontonnya.

5. Pada awalnya saya sendiri teragak - agak, bagaimana mahu menangani penghinaan pihak yang tidak bertanggungjawab terhadap hukum Allah swt. Pada kebiasaannya kami dari Dewan Pemuda PAS akan mengadakan demonstrasi membantah penghinaan terhadap hukum Allah swt. Tetapi saya mula mengukur dan melihat pendekatan demonstrasi untuk zaman cyber ini.... saya akui demonstrasi mempunyai impaknya yang tersendiri, cuma kalau terlalu kerap di adakan, nanti yang hadir hanya seribu dua, kemudian selepas demo dan meluahkan bantahan, semua pulang dan berakhir begitu sahaja. Hanya sekadar mampu menunjukkan perasaan marah dan benci terhadap perbuatan menghina hukum Allah, namun pihak berkuasa tetap degil dan enggan bertindak, masyarakat pula masih terlalu ramai yang terperangkap dalam kejahilan yang mengepong mereka.

6. Begitu juga isu - isu nasional yang lain, mutaakhir ini, penganjuran demonstrasi tidak menarik jumlah yang diharapkan kecuali demonstrasi bertaraf high level seperti BERSIH, BERSIH 2.0, PPSMI, Mansuhkan ISA. Demonstrasi bantah kezaliman di keduataan Syria, Libya dan Mesir sebelum ini pun hanya dihadhiri sekitar ratusan para peserta tegar demonstrasi. Begitu juga himpunan aman membantah isu Mykad juga tidak mencapai angka yang diharapkan.

7. Saya cuba mencari alternatif lain terutama di zaman anak - anak muda "lepak" di dalam talian jalur lebar. Saya perlu anjur "demonstrasi" dalam jaringan dan talian ini justeru di sinilah berhimpunnya anak - anak muda. Patutlah mereka kurang hadir berhujan dan berembun di padang lapang untuk mendengar ceramah umum oleh pimpinan PAS. Kalau hadhir pun, hanyalah crowd biasa dan jumlah yang terhad. Kecualilah ceramah yang disampaikan oleh pemimpin high class dan himpunan rasmi yang melibatkan kerahan wajib kepada ahli atau penceramah yang berada di dalam kelasnya yang tersendiri seperti Al Fadhil ustaz Azhar Idrus yang mencetus fenomena kuliah agama mutaakhir ini.

8. Mungkin saya naif dalam hal ini. Sehingga ada pihak yang tidak suka pendekatan saya malah menganggap langkah saya tidak menganjurkan demonstrasi ini sebagai pengecut. Ketua Pemuda paling pengecut ! letak jawatan sahaja lah ! saya hanya tunduk diam sambil menahan dan mengawal emosi. Menidakkan saya dan menggelarkan saya sebagai pengecut kerana semata - mata tidak menganjurkan demonstrasi adalah tidak benar.

9, Usah dihitunglah berapa kali saya menyertai dan menganjurkan demonstrasi sebelum ini termasuklah keluar masuk lokap dan mahkamah. Isunya bukan saya takut .... tetapi isunya ialah pendekatan dan imej ! kerana kekerapan demonstrasi ini jugalah ada pihak termasuk pengamal media menggelarkan pemuda PAS Taliban ! Semoga Allah memberi hidayah dan taufiqnya kepada saya dan menetapkan tapak kaki ini di atas perjuangan suci untuk menegakkan syariat Allah swt.

10. Ceramah adalah untuk sampaikan maklumat. Demonstrasi juga bermaksud untuk menghantar mesej kepada pihak tertentu dan juga umum sambil menunjuk perasaan dan sikap kita terhadap sesuatu isu. Maksudnya ceramah dan demonstrasi adalah sebahagian dari mekanisme untuk menyampaikan maklumat, memahamkan masyarakat serta menarik perhatian umum terhadap risalah atau mesej yang mahu kita sampaikan. Apa yang penting ialah masyarakat dapat maklumat, faham dan sedar.

11. Sambil meneruskan pendekatan yang sedia ada seperti ceramah dan demonstrasi, saya perlu menambah dan menganjurkan pendekatan baru yang membawa objektif yang serupa iaitu membawa dan menyampaikan maklumat atau risalah perjuangan kita kepada masyarakat umum. Termasuklah menjawab isu dengan baik dan hikmah.

12. Alhamdulillah, pendekatan terbaru ini mendapat tempat dihati anak - anak muda. Bermula dengan filem "Gua Ikut Enta" kini diikuti pula dengan fiem "Oley !" Semoga pendekatan ini turut memberi impak yang besar kepada perjuangan Islam yang kita dokong bersama. Filem Oley telah mencecah hitnya melebih 15 ribu penonton dalam tempoh 24 jam. Bukan calang - calang demonstrasi boleh menghimpunkan 15 ribu orang untuk mendengar dan memahami mesej yang kita nak bawa.

Ustaz Nasrudin Hasan Tantawi

Sabtu, 29 Oktober 2011

Ijtima' Tarbawi 2011: Pemukiman yang dinanti.



1. Bermula esok [ 28 Oktober 2011 – Jumaat - jam 4.30 pm ] hinggalah [ 30 Oktober 2011 ], Dewan Pemuda PAS Malaysia sekali lagi bakal melakar sejarah menelusuri episod perjuangan Islam di Malaysia, apabila anak – anak muda yang cintakan Islam, sahabat seperjuangan yang rindukan ikatan ukhuwwah Islamiyyah dan pejuang yang perlukan sentuhan tarbiyah ruuhiyah harakiyah dari para murabbinya akan berhimpun dengan penuh “persediaan” untuk ditarbiyah aqidah, pemikiran dan keperibadian mereka di KUIZM Taman Melewar.
2. Malah anak – anak muda yang ingin merasakan pengalaman baru dengan sentuhan kepimpinan Dewan Pemuda PAS Malaysia membina dan mengkaderkan anggotanya turut tidak melepaskan peluang untuk mendaftar dan menyertai acara tahunan ini, sebagai himpunan yang terbesar malah terpenting selepas muktamar tahunannya.

3. Saat saya menulis artikel ini, sebahagian pemuda telah pun bergerak dengan penuh semangat dan teruja untuk menjadi peserta paling awal ke Ijtima’ Tarbawi 2011, sementara yang lainnya pula berdebar – debar menanti saat untuk berlepas pergi. Tentu sahaja keikhlasan akan tersemat jauh di dalam sanubari mereka kerana melepaskan masa dan kepentingan lain untuk beruzlah di Taman Melewar tentunya tidak mengharapkan apa – apa selain redha Allah swt.

4. Terlebih dahulu saya ucapkan selamat berijtima’ buat semua anak – anak muda yang mewarisi semangat pejuang, untuk terus mendidik diri agar lahir dan tampil sebagai pejuang yang mantap pemikiran, kental semangat dan tabah jiwa menggalas amanah perjuangan suci ini.

5. Tahniah jua saya ucapkan buat seluruh warga kerja sekretariat Ijtima’ Tarbawi 2011 yang diketuai oleh sahabat saya al fadhil Ustaz Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz yang gigih dan sibuk tahap gaban untuk menjayakan Ijtima’ tersebut. Sesekali saya berkesempatan masuk dan menyertai mesyuarat sekretariat ini dan ternyata ia sungguh membanggakan saya. Bukan sahaja berbincang dan bermesyuarat, tetapi juga mereka sangat serius, gigih, bersungguh dan rajin melaksanakan apa jua keputusan mesyuarat. Saya doakan agar mereka diberi kekuatan dan keupayaan untuk menghasilkan kualiti Ijtima’ Tarbawi yang terbaik insyaallah.

6. Namun, perlu saya tegaskan di sini buat semua peserta agar turut bersedia menghadapi apa jua kesulitan dan kesukaran yang bakal ditempuhi sepanjang Ijtima’ Tarbawi 2011 sungguhpun pihak sekretariat telah mengesat keringat di betis. Tentu sahaja akan ada kelemahan dan kekurangan luar jangka yang berlaku dan dikesan oleh peserta. Justeru Ijtima’ Tarbawi ini sifatnya sebagai program pengkaderan, maka saya harap semua peserta tidak merungut dan mengomel, apa lagi merasa kesal dengan segala kesulitan yang bakal ditempuh sebaliknya menerima dengan tenang dan semangat juang yang tinggi sementara segala kelemahan itu kita akan atasi bersama insyaallah.

7. Ijtima’ Tarbawi 2011 bukan kursus keusahawanan atau kursus kemahiran yang mempunyai budget kementerian dan juga bukan hari keluarga atau perkelahan musim cuti untuk menikmati segala kemudahan, keselesaan, keseronokan dan kerehatan. Sebaliknya ia adalah program pembinaan, pendidikan, pengkaderan, pembentukan dan pemantapan. Justeru itu, segala kepayahan, kesulitan, kelemahan dan kesukaran yang bakal ditempuh adalah sebahagian dari “pakej tarbiyah” yang mesti diterima dan diambil oleh peserta dengan baik, tekun dan cermat sekalipun ia tiada dalam agenda dan tentatif program.

8. Saya kira segala kesulitan dan kesukaran itu adalah “campurtangan Allah swt” untuk mendidik para pejuangnya agar mencapai matlamat dan objektif Ijtima’ Tarbawi ini. Malah pengalaman saya, jua pengalaman senior – senior saya dalam mengambil skima pentarbiyah dari jamaah ini, suatu “tarbiyah yang tiada dalam tentatif” program itulah yang lebih meninggalkan kesan mendalam pada diri setiap peserta jika mereka benar – benar bersedia untuk ditarbiyah agar lahir sebagai pejuang bertaraf Ansoorullah.

9. Sekurang – kurangnya ada 3 tumpuan yang perlu diberikan oleh setiap peserta Ijtima’ Tarbawi ini.

Pertama : Setiap pengisiannya yang terdiri dari taujihat, amanah, wasiat, kertas kerja, forum dan arahan pimpinan. Antara cara memberi tumpuan ialah dengan rakaman audio, menulis dan menghafaz point – point penting.

Kedua : Aktiviti dan amali sepanjang Ijtima’ seperti al mathurat, solat jamaah, qiamulail, munajat, taaruf, makan bersama, rehat bersama dan pelbagai aktiviti yang bersifat secara langsung atau tidak secara langsung mestilah dimanafaatkan sebaik mungkin untuk nilai tambah kepada pengisian yang kita perolehi melalui agenda dan tentatif yang telah disusun.

Ketiga : Ujian dan cabaran yang bakal dihadapi sepanjang program malah ia akan berterusan sepanjang masa perjuangan kita. Jangan lepaskan peluang keemasan ini. Serap sebijak mungkin hikmah dan ibrah [pengajaran] dari ujian dan cabaran yang ditempuh. Lantaran ia adalah suatu anugerah Allah swt yang tidak dapat dibekalkan oleh sekretariat Ijtima’ Tarbawi 2011 kelak.

10. Sama – sama lah kita berdoa agar Ijtima’ Tarbawi 2011 yang bakal berlangsung esok, benar – benar berjaya, bukan sahaja penganjuran aktivitinya tetapi juga menepati matlamat dan objektif yang telah digariskan. Suatu yang saya mahu ialah lahirnya pemuda – pemududa yang

1. ikhlas berjuang,
2. gigih menunaikan amanah perjuangan,
3. cekal menghadapi rintangan,
4. berjaya mengurus diari gerakkerja
5. menepati piawaian Ansoorullah.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Jom ke Ijtima’ Tarbawi 2011:Mencetak Kader Dakwah, Menyimpul Ukhuwwah

Mencetak Kader Dakwah, Menyimpul Ukhuwwah



Gerakan Islam ini semakin membesar dan menerima kehadiran penyokong yang pelbagai latarbelakang , konsistensinya di medan dakwah,tarbiah dan dakwah telah teruji dalam tempoh yang panjang di negara ini . Usai program mega , sambutan 60 tahun PAS di Pulau Pinang , jangan lupa pula program besar tahunan Dewan Pemuda Malaysia, 28 sehingga 30 Oktober ini, yang akan berlangsung program terbesar Dewan Pemuda PAS Pusat iaitu Ijtimak tarbawi 2011. Program ini merupakan kesinambungan program besar Dewan Pemuda PAS iaitu Ijtimak ‘Alami yang pernah diadakan pada tahun 1989 dan 1994 di tempat yang sama iaitu Masjid Rusila Terengganu.

Dewan Pemuda PAS semenjak dekad 60an telah ratusan kali mengadakan ijtimak tarbawi dalam kerangka mencetak kader-kader dakwah. Semasa dipimpin oleh Ustaz Hasan Shukri ,seorang anak tarbiah Ikhwanul Muslimin program ini dinamakan SPEM.DPPP bergerak ke setiap negeri untuk mempersiapkan fikrah pemuda terutama tonggak lima rukun yang digagaskan oleh gerakan Islam fenomenal itu.pemuda PAS yang diasak dengan program tarbiah telah Berjaya menghadapi serangan tak beradab pemuda tahan lasak UMNO yang dikenali sebagai pemuda tahan lasak.

Dalam dekad kebangkitan Islam pula , selepas peralihan kepimpinan ulama ,pelbagai ijtimak tarbawi diadakan dengan menggunakan pelbagai jenis tema seperti ijtimak mustad’afin, ijtimak penerangan dan sebagainya,namun yang paling berskala besar ialah ijtimak alami yang menghimpunkan tokoh-tokoh besar gerakan Islam antarabangsa, termasuk daripada gerakan Jamiat Islami,Ikhwanul Muslimin dan juga gerakan Islam yang lainnya.

Program himpunan tarbiah ini akan menghimpunkan tokoh-tokoh tarbiah PAS seperti Tuan Guru Mursyidul Am, Tuan Guru Presiden, Naib-Naib Presiden, Ketua Dewan Ulama, Murabbi tarbiah , termasuk tokoh undangan daripada gerakan fenomenal dunia iaitu Ikhwanul Muslimin.

Dewan Pemuda PAS Pusat sangat berbesar hati mengundang seluruh amilin, pendokong-pendokong harakatul ummah ini untuk membanjiri bumi serambi Mekah yang telah lebih dua dekad diterajui oleh kepimpinan ulama.Ahli-ahli PAS seluruh negara dijemput hadir, tidak terhad kepada jaringan pemuda tetapi program ini mengundang juga muslimat, Nisa, warga kampus, veteran parti, pelajar-pelajar sekolah dan seluruh penyokong dan pendokong perjuangan Islam. Saya bagi pihak jawatankuasa Panitia program Ijtimak dan Dewan Pemuda PAS Malaysia, ingin menyeru kepada ahli-ahli PAS untuk hadir beramai-ramai beserta dengan kaum keluarga, bekalkan dengan tikar, bantal, bekalan musafir yang secukupnya.

Taman Melewar dan kawasan sekitarnya akan menjadi ‘hotel’ yang akan menampung ribuan peserta ijtimak melepaskan lelah bersimpuh di KUIZM dan kawasan disekitarnya .. Gerai-gerai jualan yang pelbagai akan menyempurnakan himpunan ini, termasuk gerai pameran yang akan diuruskan oleh pelbagai unit dalam Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Ijtimak Tarbawi 2011 Dewan pemuda PAS akan berlangsung dengan euphoria santai namun sarat dengan mutiara ilmu yang akan disampaikan oleh pembentang kertas kerja, pengkuliah, juga panelis forum yang terdiri daripada kalangan pimpinan PAS Pusat dan tokoh jemputan daripada Ikhwanul Muslimin. Dengan jangkaan sepuluh ribu peserta yang hadir memenuhi dalam dan luar kompleks KUIZM, program ini dijangka memberikan kesan yang mendalam untuk memerkasakan kembali program tajnid , mencetak kader-kader dakwah dan merimbunkan kembali program amal tarbawi di dalam gerakan Islam tertua dan terbesar di negara ini.

PAS walaupun disibukkan dengan medan siasah namun tidak melupakan kewajipan asasinya untuk membenihkan kefahaman terhadap ahli-ahlinya yang kini menjangkau sejuta orang.

Selamat datang kepada seluruh ahli dan pastikan tarikh penting ini tidak bertembung dengan mana-mana program parti.jika BERSIH dapat menghimpunkan seratus ribu rakyat prihatin, mengapa tidak Ijtimak yang penting ini kita himpunkan seramai mungkin ahli-ahli jemaah.Rahsia kekuatan PAS dapat bertahan dalam tempoh enam dekad ini ialah kerana kejayaan mentarbiah ahlinya, berdada dengan kezaliman pemerintah.Tanpa tarbiah, maka PAS telah lama berkubur di Negara ini seperti puluhan gerakan lain yang hanya berada dirakaman sejarah negara.

NOSTALGIA PROGRAM IJTIMAK TARBAWI 2010

Saya teringat Ijtimak kita pada tahun lepas di Masjid Rusila, Ijtimak Tarbawi 2010 bukan sekadar medan untuk berhimpun dan berukhuwwah ,namun ada sesuatu yang membekas dalam palong hati saya, iaitu Ijtimak Tarbawi 2010 Pemuda menerima kehadiran tokoh murabbi PAS yang sangat tidak asing dengan program pembinaan kader pemuda PAS, iaitu al fadhil Ustaz Yahya Othman.

Siapa tidak kenal dengan sesepuh besi khursani tarbiah ini yang mendapat pendidikan di Timur Tengah dan diasuh oleh Ikhwanul Muslimin. Kertas kerja tarbiah ustaz Yahya Othman sering kita lumati dalam program tarbiah, bahkan dada kita turut terisi dengan penyampaian beliau yang tegas. Beliau adalah anak didik kepada Sheikh Kamal Saniri, tokoh Ikhwan yang telah mengalami pemenjaraan dan akhirnya mati syahid akibat disiksa oleh regim Mesir.

Sang Murabbi ini mengabadikan hidupnya untuk mencetak kader dakwah semenjak tahun 70an lagi. Di saat kebangkitan Islam menyelimuti dunia Islam, bahkan negara ini juga tidak terkecuali, Ustaz yahya Othman bergerak ke seluruh negara untuk membudayakan tarbiah kepada pemuda dan belia Islam. Dasawarsa 70an dan 80an adalah zaman subur merendang dengan usrah, tamrin, daurah , jaulah dan sebagainya, semua program ini begitu sinonim dengan beliau.Bahkan, PAS berjaya merubah kepimpinan pada tahun 1982 (transformasi kepimpinan) adalah kerana suburnya gerakan tarbiah dan pembinaan.

Kepimpinan ulama yang menjadi teras kepimpinan PAS berjaya direalisasikan akibat hidupnya gerakan tarbiah yang berterusan, juga akibat generasi peserta kebangkitan Islam yang begitu ghairah untuk melihat PAS menjadi gerakan Islam yang bergerak diatas kefahaman ahli bukan semangat yang meledak-ledak kosong.

Kita semua para amilin jemaah akan sentiasa mempunyai ingatan kolektif terhadap jasa dan pengorbanan beliau, bahkan merasa kerinduan yang menggebu dengan sentuhan ‘air tangan’ beliau. Saya semasa menjadi Pengerusi Lujnah Tarbiah DPPWP dan Timbalan Pengerusi Lujnah Tarbiah DPPP, Ustaz Yahya adalah pimpinan yang sentiasa diundang untuk menjadi pengisi program tarbiah pemuda.

Beliau sangat serius dalam persoalan menepati masa, bicaranya tenang namun tegas. Bersimpuh dihadapan beliau semasa program seolah didera dalam penjara Guantamao atau berada dalam sel regim Arab, bimbang diterpa soalan ‘cepu mas’ ustaz Yahya.wajahnya sebening air yang membersit cahaya tetapi ketegasannya menggerunkan.

“ayat apa tadi akhi?, surah apa?” Tanya sang murabbi dengan cerlungan mata pada peserta program tajnid.Tak berkutik,semua tunduk seolah tak mendengar soalan ustaz.Dia tak mengalah,terus mengasak peserta.

“Ayat apa yang akhir ana cakap tadi…?” Tanya beliau dengan tegas, peserta akan menunduk dan menikus seperti tikus disimbah dengan secawan kopi ‘Janda’.

“Mengapa enta tak menulis semasa ana berkuliah?” Tanya sang Murabbi dengan tatapan tajam disebalik bingkai kaca mata kepada peserta tamrin, sebahagiannya menikus seperti tikus mondok tersimbah air longkang. Saya juga, walaupun panitia program kecut perut seperti baru melintasi bilik mayat selepas jam tiga pagi atau melintasi jirat Cina yang baru menyimpan mayat gadis terjun bangunan. Semua diam, tenang dalam ketakutan yang cukup payah diungkap dengan lukisan kata-kata.Hormat dan gerun , sekaligus merasa bersalah kerana tidak serius mencatat.

“Mengapa tak menulis dalam jawi?” Tanya Ustaz lagi pada seorang peserta yang duduk di barisan hadapan, teman ini pucat, bibirnya kelat menelan airliur. Lulusan kampus tempatan ini adalah produk dasar pendidikan negara yang tidak bersahabat dengan tulisan jawi.

“Ana sayangkan antum semua ini, antum semua anak ana, antum semua masa depan perjuangan Islam” kata sang murabbi dengan lirih, mata beliau berkaca dengan patah kata yang tersekat. Di akhir program kami saling memeluk beliau, berpamitan dengan penuh ukhuwwah, ustaz sentiasa bermalam dengan peserta tamrin Pemuda, mengunyah apa sahaja yang dihidangkan bersama peserta tamrin tanpa omelan . Keakraban beliau dengan peserta bukanlah dibuat-buat, keintiman ini berakar daripada kecintaan beliau untuk membina dan mencetak jurudakwah muda.

Buatlah tamrin jauh meranduk kawasan perbukitan , meredah kawasan yang paling rahsia untuk mengelak pengintipan musuh atau ke pulau terbiar, ustaz Yahya tidak pernah gagal untuk hadir. Biasanya pula sang murabbi akan sampai lebih awal daripada peserta tamrin.Sesibuk manapun beliau semasa menjadi Exco Kerajaan Kelantan namun program tarbiah adalah keutamaan.

“Mula pukul berapa akhi program ni” Tanya Ustaz Yahya pada saya dalam satu program pembinaan. Sebenarnya jauh di sudut hati ustaz tidak memerlukan jawapan, soalan itu adalah inzar kepada panitia yang gagal untuk mendisiplinkan peserta.Apa pun teguran yang diberi , saya dan kawan-kawan tidak pernah berkecil hati, malah hari ini ianya menjadi sebuah kerinduan yang sangat mendera perasaan,terakam indah dalam lipatan ingatan kita semua.

Dalam program ijtimak Tarbawi yang lepas, ramai generasi muda yang baru berjinak dengan PAS tidak mengenali sosok ini namun akhirnya terpegun dengan pengisiannya yang sangat mengesankan.kata-katanya seperti kilauan mutiara, juga seperti air yang jernih yang turun daripada bukit seterusnya menakung dalam kolam yang teguh.Daya ingatannya memukau dan menyakinkan sekali, menyihir anak-anak muda yang tekun mendengar.

“Jangan lupakan program tarbiah, jangan lupa baca Al Quran walau sesibuk mana pun kamu”ujarnya tegas, matanya berkaca menatap peserta.Dia seperti disihir untuk tidak meninggalkan majlis yang baginya menghimpunkan anak-anak didiknya dari seluruh negara. Usai beliau memberi pengisian, tubuhnya yang uzur masih melekat di kerusi khas di belakang pentas.Matanya memerhati dengan penuh teruja kearah anak muda yang jumlahnya ribuan orang dan dia dengan tekun menangkap butiran yang disampaikan oleh penceramah-penceramah lain.

“Nama apa ustazah yang bercakap tu?” Tanya ustaz Yahya perlahan,cuba mengingat sesuatu. “Ohh, Dr Asiah Ali…Pengerusi tarbiah Muslimat”jawab saya.Ustaz tekun menangkap butiran yang keluar daripada mulut penceramah.Ustaz Asri Daud, sekali sekala melayan pertanyaan ustaz Yahya, yang tergambar sangat bahagia pada hari itu.

Sukarnya untuk melupakan jasa Ustaz Yahya kepada peserta kebangkitan Islam , juga kepada kita semua didalam organisasi Dewan Pemuda. Setiap kali bertemu, hati kecil akan berdoa “ Ya Allah, berilah kekuatan dan kesihatan kepada murabbi kami, kami masih merindui sentuhan beliau”. Maka , teman-teman sekalian , jangan lupakan Ijtimak Tarbawi 2011 yang akan diadakan pada 28-30 Oktober ini.

Kita bertemu mata dengan penuh rasa ukhuwwah dan keghairahan untuk membedah perjalanan jamaah dan amal tarbawi, saat kita meriah dengan agenda menuntut ruang demokrasi yang bersih dan adil.Ajak dan iklankan program ini semaksima mungkin melalui media baru,juga mulut ke mulut seterusnya merancang untuk tiba tersenyum di KUIZM Taman Melewar pada tarikh tersebut.

Jangan kau Tanya,”nak mandi dimana, buang air dimana,muat tak Dewan Fadhil Noor”, kita adalah pemuda Islam yang akan menggalas beban perjuangan, bukan anak-anak kecil yang disuap makan oleh ibunya. Islam tak akan menang ditangan sang pengecut dan pemuda yang manja, tiga hari bukanlah tiga bulan di tengah Sahara atau di hamparan ais di kutub Utara.

Ustaz Yahya yang semakin uzur pun akan hadir memberikan pengisian untuk kita semua.Juga Mursyidul Am dan juga Presiden akan membelai akal kita dengan pengisian , maka jom anak muda..jangan tak datang.Kami menunggumu dengan tangan yang didepang luas dan senyum penuh bahagia !

(Riduan Mohamad Nor adalah Ketua Penerangan dan dakwah DPPP,seorang penulis dan juga Timbalan Pengarah Ijtima’ Tarbawi kebangsaan 2011)

Isnin, 22 Ogos 2011

TAZKIRAH - TIPS DI HARI-HARI AKHIR RAMADHAN

RAMADHAN semakin hari bakal meninggalkan kita. Bulan yang penuh rahmat, pengampunan dan dijanjikan pahala berlipat kali ganda bagi hamba-Nya yang mengikhlaskan pengabdian diri kepada Allah s.wt.

Oleh itu rebutlah peluang dengan baki hari yang ada, setiap jam yang dilalui, setiap minit yang berdetik dan setiap saat masa yang berlalu untuk mempastikan Ramadhan ini menjadi Ramadhan terbaik untuk kita semua.

Berkorbanlah dengan masa, tenaga dan segala-galanya untuk mencari malam Lailatul Qadar kerana di malam ini Allah menjanjikan ganjaran yang teramat besar di samping doa-doa yang akan dimakbulkan-Nya. Beri'tikaflah, bangunlah dan persembahkanlah rintihan, harapan dan taubat kerana malam itu hanya berlaku sekali dalam setahun

Hari-hari terakhir Ramadhan juga adalah hari-hari di mana Allah memadam nama-nama manusia yang akan dimasukkan ke dalam neraka. Na'uzubillah... Oleh itu perbanyakkanlah doa, basahi lidah dengan istighfar kepada Allah, sesalilah segala dosa-dosa yang dilakukan, dan berazamlah untuk tidak melakukannya lagi kerana sesungguhnya Allah amat ternanti-nanti permohonan ampun dari hamba-Nya

Luangkanlah masa 4-5 minit sebelum berbuka puasa untuk memperbanyakkan doa kepada Allah kerana detik-detik itu menjadi satu masa mustajabnya doa
Perbanyakkan lagi amalan-amalan membaca Al-Quran, bersedekah, sembahyang sunat dan segala perkara kebaikan kerana ingatlah hanya amalan sahaja yang akan menemani kita di saat kita berseorangan di alam barzakh

Sama-samalah kita istiqamah melakukan ibadah kepada Allah dan gunakanlah kesempatan masa yang diberikan Allah ini dengan sebaiknya kerana belum tentu Ramadhan akan datang kita dapat tempuhi lagi.

t

Isnin, 15 Ogos 2011

Jadual Tazkirah/Kuliah Ramadhan Musolla ar Raudhah


Jom gi kuliah...

Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan

Salam Ramadhan Karim .. Semoga ramadhan kita pada kali ini adalah Ramadhan yang terbaik dari ramadhan2 yang sebelum ini.. Jom sahabat, kita gandakan amal dan ibadah kita kepada Alllah kerana peluang yang Allah bagi ini hanya setahun sekali.. kita belum tentu akan hadapi Ramadhan selepas ini.. Anggaplah ini Ramadhan terakhir buat kita.. Gunakanlah peluang yang diberikan kepada kita dengan sebaiknya, dan isilah ianya dengan perkara yang bermanfaat..

Semoga Objektif utama dalam bulan Ramadhan ini iaitu "TAQWA" akan kita capai.. Justeru Taqwa adalah senjata berkuasa tinggi untuk depani konspirasi musuh, nafsu dan syaitan..
Carilah Rahmat di awalnya semoga diampunkan kita dipertengahannya agar diakhirnya nanti terlepas kita dari azab api neraka.. semoga Ramadhan kali ini adalah Madrasah terbaik buat kita..

Ya Allah! Jadikanlah Ramadhan pada kali ini Ramadhan yang terbaik buat kami.. Terima Kasih Ya Allah, kerana Kurniakan Ramadhan kepada kami..
Jom Gandakan Ibadah, Tadarus, Zikir, Solat2 sunat, tahajud dan sebagainya..
Kedatanganmu Di Nanti, Pemergianmu Di tangisi

Salam Ramadhan dari ana... :))

Khamis, 14 Julai 2011

ISLAM RAHMAT SELURUH ALAM

13 Sya'ban 1432 H | 14 Julai 2011

Al Quran dan Hadis diturunkan sebagai rahmat seluruh alam, dan bukan hanya untuk orang Islam sahaja, dan bukan hak orang Melayu sahaja.

Apabila saya membaca laporan mengenai Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Mohamad Satim Diman yang membidas wakil rakyat PAS dan PKR beragama Islam kerana tidak bersuara ketika ADUN, Ng Suee Lim memetik hadis untuk menguatkan hujahnya dalam satu pembentangan di DUN Selangor semalam, ianya menyerlahkan sikap dan pemikiran segelintir pemimpin-pemimpin Umno yang masih terkongkong dengan persepsi bahawa menjadi satu kesalahan untuk orang bukan Islam memetik ayat al-Quran atau hadis.

Senario dunia sekarang amat berbeza apabila ramai orang bukan Islam yang memetik ayat al-Quran dan hadis dalam tulisan atau ucapan mereka. Jika sekiranya perkara tersebut tidak dibolehkan, mengapa pula para ulama atau Majlis Fatwa tidak mengeluarkan fatwa untuk mengharamkannya?

Menjadi haram atau perlu dicegah hanya sekiranya mereka atau kita umat Islam sendiri memetik dengan tujuan menghina atau mempermain-mainkan al-Quran atau hadis. Tetapi jika mereka menggunakannya untuk menguatkan hujah mereka, maka ia tidak dilarang bahkan ianya telah ada nilai kepercayaan kepada kebenaran al-Quran atau hadis. Seandainya petikan tersebut tersasar dari maksud sebenar, maka mereka yang memahami nas wajiblah membetulkannya.

Sebarang usaha untuk menghalang orang bukan Islam daripada mendekati sumber utama Islam (al-Quran atau hadis) akan menyebabkan mereka semakin jauh daripada memahami asas agama Islam – dan ini akan membantutkan perkembangan agama Islam. Kerana itu, Umno tidak perlu menunding jari kepada wakil rakyat PAS atau PKR kerana tindakan itu mengambarkan kejahilan mereka dalam memahami isu ini.

Untuk itu kita sebagai umat Islam hendaklah memandu golongan bukan Islam memahami dan mengkaji kebenaran Islam, semoga dengan kajian tersebut mereka terbuka hati untuk menerima Islam, InsyaAllah..
Tuan Guru Ust Tuan Ibrahim Tuan Man