Selasa, 19 Oktober 2010

Gamis gesa masyarakat prihatin gejala sosial


gamis2010KUALA LUMPUR 18 Okt - Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) menggesa rakyat Malaysia mengambil perhatian serius berhubung masalah sosial yang kian menggila di kalangan remaja sekarang ini.

Menurut Gamis generasi remaja merupakan antara susuk tubuh yang amat bernilai dan juga menjadi kayu ukur kepada pembentukan sesebuah negara.

Kata pertubuhan itu dalam kenyataan medianya semalam, masalah buang bayi yang berleluasa sudah cukup menjadi bukti keparahan sosial masyarakat dan malah analisis masalah mengandung anak luar nikah juga menunjukkan ia semakin meningkat.

"Namun barah yang ada ini ditambah lagi dengan racun yang dibawa masuk, iaitu budaya ‘gay’ yang ditonjolkan melalui artis remaja Amerika, Adam Lambert dalam konsert di Stadium Bukit Jalil baru-baru ini. Masa depan remaja Malaysia yang dicanangkan sebagai pemimpin masa depan bakal berdepan konflik jika lanskap masyarakat negara dibentuk oleh suasana seperti ini.

"Sangat mendukacitakan apabila gejala sosial semakin membiak, usaha menyuburkannya digiatkan lagi. Tidak ada guna membina sekolah untuk remaja hamil yang terlanjur (sekolah harapan), ataupun lawatan ke Belgium untuk mendapatkan sistem pencegahan masalah ini sekiranya dalam masa yang sama budaya negatif ini di bawa masuk. Ibarat kita membunuh nyamuk, air yang bertakung di biarkan berjentik," tegas Gamis.

Sehubungan itu Gamis memuji Kem Bina Sahsiah 2010 yang dianjurkan oleh Pusat Pendidikan Muassasah Darul Ulum dengan kerjasama Unit Pembangunan Insan Kerajaan Negeri Kedah yang akan diadakan di Kompleks Pendidikan Muassasah Darul Ulum, Kilometer 23, Jalan Kuala Nerang, 06400 Pokok Sena, pada 28 November 2010 hingga 18 Disember 2010 dan menganggap usaha terseut satu langkah yang baik bagi melahirkan kesungguhan pihak kerajaan negeri untuk mengurangkan masalah sosial dikalangan remaja.

Kem-kem yang bakal diteruskan siri kelansungannya ini merupakan langkah bijak yang diambil oleh pihak kerajaan negeri Kedah dalam mengawal dan mengurangkan kes-kes jenayah yang melibatkan generasi remaja pada hari ini yang sudah kian parah. Program yang dianjurkan itu merupakan satu pendekatan terbaik dalam melahirkan pelajar yang berilmu pengetahuan.

"Gamis menyambut baik usaha yang di lakukan oleh kerajaan negeri Kedah dalam menganjurkan kem-kem berbentuk mendidik pelajar-pelajar khususnya dalam aspek membentuk peribadi berakhlak mulia. Gamis juga berharap negeri-negeri lain juga turut sama mengadakan satu bentuk program yang dapat membentuk dan mendidikan generasi remaja sepertimana yang telah di lakukan oleh kerajaan negeri Kedah.

Menurut Ketua Penerangan Gamis Pusat, Mohd Yusof Hadhari Saidon, badan itu meminta mahasiswa dari seluruh negeri supaya turut sama memberi sumbangan yang terbaik dalam penganjuran kem ini dan bersama-sama turun membantu serta meluangkan masa untuk masyarakat amnya.

“Penganjuran Kem Bina Sahsiah ini bukan hanya mampu mendidik generasi remaja menjadi seorang insan yang berilmu dan berakhlak mulia tetapi juga ini merupakan proses yang amat baik bagi membentuk dan mentarbiyah generasi akan datang akan kepentingan agama di samping memanfaatkan cuti persekolahan mereka dengan aktiviti yang berfaedah,” ujar Mohd Yusof Hadhari.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan