Khamis, 24 Februari 2011

 Ikhwan tubuh Parti Kebebasan dan Keadilan


KUALA LUMPUR, 23 Feb: Pembangkang terbesar Mesir, Ikwan Muslimin menubuhkan parti politik mereka bernama “Parti Kebebasan dan Keadilan” atau dalam bahasa arabnya "Huriya wa Adala" bagi bertanding pada pilihan raya umum negara itu nanti.

Keputusan tersebut diumumkan oleh Mursyid Am gerakan itu, Dr Muhammadd Badie pada satu sidang akhbar semalam dan kenyataan tersebut turut disiar pada laman web rasmi pertubuhan itu.

Muhammadd Badie berkata, keputusan menubuhkan parti tersebut bukanlah perkara baru, bahkan ia adalah keputusan Majlis Syura sejak dahulu yang memutuskan bahawa jemaah Ikhwan Muslimin akan menubuhkan sebuah parti politik untuk jemaah tersebut.

"Langkah ini merupakan respon kepada hasrat rakyat Mesir ke arah memiliki masa depan yang lebih baik dan gemilang serta mengembalikan peranan, kedudukan dan kepimpinan Mesir itu sendiri yang telah diukir oleh sejarahnya yang terbilang," katanya.

Beliau turut memaklumkan keanggotaan parti itu adalah terbuka untuk semua orang Mesir yang mahu menerima program serta perjuangan mereka untuk menjaga kebajikan rakyat Mesir.

Kabinet parti itu juga jelasnya, akan diumumkan segera selepas segala persiapan selesai manakala langkah-langkah awal akan diambil untuk mengesahkan pendaftarannya.

Beliau juga berkata bahawa sebuah biro telah ditubuhkan untuk menyiapkan perlembagaan dan hal-hal lain yang berkaitan dengan penubuhan parti tersebut.

Ikhwan juga telah mengesahkan bahawa ia tidak keberatan untuk memilih wanita atau penganut kristian Koptik sebagai anggota kabinet tetapi merasakan belum sesuai untuk mencalonkan mereka sebagai ketua parti.

Pilihan Raya Umum Mesir bakal diadakan selewat-lewatnya dalam tempoh enam bulan dari sekarang.

Harkahdaily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan